Friday, 31 May 2013

Diet yang Sesuai untuk Pengidap Diabetes

Diet Bagi Pesakit Diabetes/ Kencing Manis

Bagi pesakit diabetes, pengawalan pengambilan makanan merupakan faktor penting bagi mengawal tahap gula dalam darah. Ini bermakna diet hendaklah seimbang sepanjang hari dan hendaklah konsisten hari demi hari.Kencing manis terjadi akibat daripada kelemahan tubuh mencerna karbohidrat. Dalam proses metabolisme, karbohidrat diproses menjadi gula (glukos) dan ditukarkan kepada tenaga.

Bagaimanapun, tidak semua glukos menjadi tenaga. Bagi penyakit kencing manis, insulin berfungsi mengawal kadar lebihan gula dalam darah ini tidak berfungsi dengan baik. Ini menyebabkan berlakunya pengumpulan gula yang menghasilkan keadaan hyperglycaemia dan menyebabkan terdapatnya gula dalam air kencing.

Oleh sebab itu, pesakit diabetes dinasihatkan agar mengurangkan gula dan lemak atau berpantang manis, mengurangkan karbohidrat dan melebihkan lemak sehingga ada antara pesakit tidak mampu berpantang disebabkan semua makanan mereka makan tiada ‘rasa’.

Diet diabetes adalah diet yang sihat dan sesuai diikuti semua orang. Bagi pesakit diabetes, mereka perlu berhati-hati dalam pemilihan makanan kerana jenis makanan dimakan sangat mempengaruhi paras gula dalam darah. Tambahnya, ramai tidak tahu dan mengambil mudah rawatan diet sedangkan diet diabetes sangat penting untuk mengawal paras glukos serta mencegah kehilangan glukos di dalam air kencing. Selain itu, pengambilan makanan seimbang mampu mengekalkan berat badan bersesuaian dengan ketinggian dan umur, mengekalkan kalori mencukupi bagi melakukan aktiviti harian dan paling penting, melambatkan atau mengelakkan komplikasi diabetes seperti dipotong kaki.

Dalam hal ini, pesakit perlu memahami tiga perkara penting iaitu apa yang hendak dimakan, waktu makan serta jumlah makanan bagi memberikan kesan positif dan berpanjangan. Terdapat tiga kumpulan makanan untuk pesakit diabetes iaitu makanan perlu dielakkan, makanan perlu dihadkan serta makanan yang bebas dimakan.

Makanan yang perlu dielakkan:
  • Minuman bergas - biasanya mengandungi gula yang berlebihan
  • Makanan dan minuman yang mengandungi gula berlebihan - dalam erti kata lain sangat manis
  • Makanan dan minuman yang mengandungi gula ringkas - biasanya boleh menyebabkan peningkatan gula dalam darah dengan cepat seperti gula-gula,gula pasir, susu pekat manis, makanan dalam tin halwa, jem dan sebagainya.
Makanan yang perlu dihadkan (pengambilan dengan kuantiti sedikit):
  • Semua jenis gula seperti gula tebu, gula kastor, gula melaka dan madu
  • Semua jenis gula tersembunyi seperti makanan dalam produk berbungkus
  • Awasi semua senarai pada label makanan yang berasaskan gula (maltosa, sukrosa dan fruktosa) yang tinggiseperti yang biasa terdapat dalam sos dan kicap
  • Kuih muih dan minuman yang dihadkan penggunaan gula - yang tidak terlalu manis atau minuman susu yang tidak terlalu manis
  • Buah-buahan yang berangkai seperti buah rambutan. langsat, duku, salak dan kebanyakan buahan tempatan adalah perlu dikurangkan pengambilannya.
  • Makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks boleh diambil dalam kuantiti terhad. Karbohidrat kompleks adalah sepertinasi, bijirin, biskut, kekacang, susu, pasta, semua jenis mi, semua jenis tepung, semua jenis ubi, buah-buahan dan jus serta sayuran berkanji seperti labu, jagung dan serbuk coklat.

Note: Menghadkan pengambilan gula  bukan bererti tiada langsung gula dalam diet harian anda. Ini adalah berbahaya untuk kesihatan sekiranya diet anda langsung tidak mengandungi gula - boleh menyebabkan kekurangan gula dalam darah dan biasanya boleh menyebabkan anda pening, pitam atau lemah sehingga perlu mendapat rawatan segera di hospital ( biasanya dimasukkan air supaya paras gula stabil dalam darah)

Makanan bebas dimakan
  • Ini termasuk air kosong, air mineral, kopi dan teh kosong , air barli, jus limau nipis, sayur-sayuran, ulam-ulaman, cuka, sup, serbuk rempah, serbuk cili,herba, kicap, sos dan garam.
  • Serat pula boleh didapati dalam bentuk larut (yang larut dalam air -membantu penyerapan nutrien) dan serat tidak larut (tidak dapat dihadam sistem pencernaan namun membantu mengelakkan sembelit).
  • Serat tidak larut boleh diambil dalam usaha mengurangkan berat badan kerana ia memberikan kekenyangan. Pengambilan serat larut membantu melambatkan penyerapan gula dan kolesterol ke dalam aliran darah. Contoh makanan mengandungi serat termasuk sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan, kekacang, bijirin, bijirin sarapan pagi, jagung dan pasta.
  • Protein pula boleh didapati daripada sumber bijirin (roti, beras, pasta,tepung dan soya) atau daripada sumber haiwan (daging, ikan, telur, ayam dan produk tenusu). Ini perlu diberi perhatian dalam merancang pengambilan diet harian anda.
Selain menjaga pemakanan, penghidap diabetes juga digalakkan melakukan senaman ringan setiap hari seperti berjoging, berjalan kaki, turun naik tangga atau berkebun yang membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Selain itu, mereka perlu sentiasa mengawal kandungan gula sama ada memeriksa sendiri atau mendapatkan nasihat di hospital berhampiran.

2 comments:

  1. Wah.. perkongsian yang sangat bermanfaat. Terima kasih admin. Diet Pesakit Diabetes

    ReplyDelete
  2. diet nie mmg sesuai utk orang kencing manis...ada bnyk juga yang mereka blh makan sebenarnya...takde la kena catu semua jenis makanan kan...

    ReplyDelete